Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR 13 Dis. – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan pembayaran dividen dan bonus sebanyak sembilan sen seunit untuk skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan 2005, merosot sebanyak 0.25 sen seunit berbanding tahun 2003 dan 2004.
Jumlah dividen yang diberikan ialah sebanyak 7.25 sen seunit, kadar yang sama bagi tahun ketiga berturut-turut tetapi nilai bonus sebanyak 1.75 sen seunit adalah lebih rendah berbanding dua sen seunit sebelum ini.
Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, perbadanan itu mengagihkan pendapatan sebanyak RM3.07 bilion untuk pembayaran dividen dan RM528.89 juta untuk bonus pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya RM3.60 bilion berbanding RM3.25 bilion tahun lalu.
“Pembayaran pengagihan dividen berdasarkan baki purata minimum bulanan bagi pelaburan sepanjang tahun kewangan 2005 dan bonus pula mengikut baki pegangan minimum bulanan untuk 10 tahun daripada tahun 1996 hingga 2005,” katanya ketika mengumum agihan ASB di ibu pejabat PNB di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Ketika ditanya mengapa kadar pembayaran tersebut kurang berbanding dua tahun lalu walaupun ASB mendapat keuntungan yang lebih, Hamad Kama Piah berkata, pihaknya perlu menyimpan sedikit pendapatan untuk dilaburkan pada tahun hadapan.
“PNB bukan mengekalkan jumlah dividen sebanyak 7.25 sen seunit seperti yang diberi dua tahun lalu tetapi kita memberinya berdasarkan keadaan pasaran.
“Sebenarnya pulangan yang diberikan oleh ASB adalah kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang mempunyai ciri-ciri hampir serupa dengan dana tersebut,” katanya.
Ahmad Sarji berkata, pendapatan ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini dijangka sebanyak RM3.43 bilion berbanding RM3.03 bilion bagi tahun 2004.
Beliau berkata, peningkatan pendapatan itu adalah daripada portfolio kewangan yang merangkumi 44.73 peratus pelaburan keseluruhannya diikuti perkhidmatan (21.22 peratus) dan perladangan (16.7 peratus) yang membentuk 82.66 peratus jumlah pendapatan kasar dana ASB.
Ahmad Sarji berkata, pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelabur dan pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan di pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) atau ejen ASNB mulai 3 Januari ini.
Jelasnya, penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan pula akan dihantar pada hujung bulan Februari.
“Bagi memastikan penerimaan dokumen-dokumen tersebut, para pemegang unit dinasihatkan supaya menyemak dan mengemaskini alamat masing-masing di pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB yang berhampiran,” ujarnya.
Pada tahun lalu, terdapat kira-kira 5.78 juta pelabur yang melanggan lebih 38.88 bilion unit ASB. PNB bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pelabur ASB bagi tahun ini.
Katanya, semua urus niaga ASB akan digantung mulai 17 Disember hingga 2 Januari bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus
9 sen ni maknanya 9 percentlah yer? Alahai sikitnya ASB sekarang.
Kalau macam ni kena pindahlah tempat percent yang tinggi. Saya rasa ASB tutup jugalah dalam masa 5 tahun ni.